August 3, 2010

Mengutamakan Perkara Lebih Utama

Mengutamakan Perkara Lebih Utama
www.iLuvislam.com
Oleh: Y.Bhg S.S. Tan Sri Dato' Seri (Dr) Haji Harussani bin Haji Zakaria*


Pada minggu lepas, saya berkesempatan menyampaikan ucaptama sempena Seminar Fiqh Awlawiyyat anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak dan Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Perak. Seminar tersebut memberi ruang kepada saya untuk menampilkan beberapa idea dan pendekatan yang telah lama saya uar-uarkan kepada masyarakat sebagai rujukan umat Islam seluruhnya.

Dalam hal ini, ulama tersohor Dr. Yusuf al-Qaradawi memberikan takrif Fiqh Awlawiyat sebagai "menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil."

Firman Allah S.WT. di dalam surah Al-Taubah ayat 19 mafhumnya: Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Ketika ini umat Islam telah hilang punca asas pertimbangan dalam menilai keutamaan daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya. Kehilangan punca bukan sahaja meliputi masyarakat umum, bahkan para cendiakawan dan cerdik pandai serta para pemimpin sendiri pun adakalanya menghadapi permasalahan dalam menentukan keutamaan sesuatu perkara.

Bagi para remaja contohnya lebih menekankan hal-hal berkaitan dengan sukan dan hiburan sebagai matlamat hidup mereka daripada mendahulukan diri dengan mengejar ilmu pengetahuan. Yang sepatutnya disanjung bukan lagi golongan ilmuwan atau intelek. Tetapi ahli sukan dan artis-artis diangkat dan dicontohi sebagai idola. Hari ini hiburan diutamakan daripada pendidikan. Lebih banyak majalah hiburan berbanding majalah yang mendidik masyarakat di pasaran. Begitu dengan program televisyen didominasi oleh rancangan hiburan yang menjadi sajian dan "makanan harian" yang dipertonton dan diprogramkan kepada masyarakat. Jika ada rancangan yang mendidik masyarakat ia tidak disiarkan pada waktu perdana, tetapi larut malam mahupun awal pagi. Islam tidak melarang hiburan, namun keutamaan hiburan tidak boleh dilebihkan daripada pendidikan sehingga masyarakat lalai dengan hiburan. Fenomena tersebut jelas membuktikan kejahilan masyarakat terhadap dimensi prioriti yang sedia ada dalam Islam.

Dalam amalan ibadat pula masyarakat kita masih sibuk membahaskan aspek khilafiah yang tidak akan berkesudahan. Dalam rancangan soal-jawab di radio yang dihadiri oleh saya, soalan-soalannya masih berkisar tentang masalah meninggalkan qunut, bidaah mengadakan tahlil, talqin yang merupakan masalah furu' dan khilafiah. Sedangkan kita berdepan dengan masalah riba yang terang-terang haram dalam kewangan dan insurans kita. Termasuk juga masalah perpecahan umat yang pada pengamatan saya perlu kepada usaha yang gigih terutamanya para umara dan ulama bagi menyatupadukan masyarakat Islam terutamanya umat Melayu.

No comments:

Post a Comment